Wednesday 24 February 2010

Semangat Hari Ini..

0 comments
Semangat hari ini …….


HARI ini seperti hari-hari yang berlalu. Ada sahaja perkara yang diinginkan, ada sahaja perkara yang diperjuangkan. Ia juga sebagai kesinambungan pada perjuangan-perjuangan yang telah berlalu.

Kehidupan ini tak menentu laksana angin yang menderu. Hidup bagaikan gelombang laut yang sering memulas dan menghempas. Perjuangan tak pernah putus malah silih berganti, namun kemenangan hanya untuk yang tabah dan berani.

Ada di kalangan kita apabila setiap kali menjelang pagi, mereka berkesempatan memperbaharui azam untuk menyemarakkan lagi perjuangan-perjuangan yang bakal tiba. Biar apa pun azamnya, biar apa pun alasannya walau beraneka dugaan yang tiba atau biar apa pun musibabnya walau yang datang dalam bentuk yang tiada diduga namun hidup mesti diteruskan , malah mesti dirempuh dan ditempuh.

Setiap saat kehidupan ini sebenarnya adalah perjuangan, sama ada dalam hal mencari rezeki, mengurus rumah tangga dan sebagainya. Malah memberi kemaafan juga adalah perjuangan kerana ianya adalah sifat terpuji serta ketinggian budi yang boleh membuat musuh besar menjadi teman.

Lantaran itu, keberanian perlu ada pada setiap manusia. Keberanian perlu ada pada setiap jiwa yang bersih, sihat dan luhur. Manakala jiwa yang cemar adalah jiwa yang sakit, lemah, mudah goyang oleh keadaan tiada pendirian. Mudah cemas dan bimbang bila ada pertembungan dengan kejadian malang, musibah dan sebagainya. Malah mungkin saja tumbang bila berhadapan dengan keadaan yang getir dan mencabar.

Prof. Dr. Hamka pernah berkata: “ Barang siapa tidak sanggup atau tidak berani menguasai diri, juga harap dia akan sanggup menguasai orang lain. Bukan keberanian kalau hanya sanggup berkelahi, tetapi keberanian ialah kesanggupan melawan nafsu. Tanda berani ialah sikap tenang walau bagaimana hebatnya dugaan yang datang. ”
 

Dzatun Nithaqaini Copyright © 2008 Black Brown Art Template by Ipiet's Blogger Template